Jika anda sering tertanya-tanya mengapa sesetengah perhubungan anda tidak berjalan seperti yang diharapkan, atau kenapa anda sering mengulangi corak perhubungan yang sama, artikel ini untuk anda.
Versi TLDR: Berkaitan Attachment Style kita yang terbentuk sejak kecil, iaitu pengalaman kita dibesarkan oleh mak ayah waktu kanak-kanak dulu-dulu, macam mana ia membentuk gaya kita berhubungan bila dah dewasa sekarang.
Apakah itu Attachment Style?
Kajian menunjukkan cara kita dibesarkan mempengaruhi perhubungan kita sebagai dewasa – ini dipanggil ‘attachment style‘. Teori ini diasaskan oleh John Bowlby pada tahun 1969, seorang psikiatris yang banyak mendalami perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak hingga dewasa.
Untuk mereka yang sering rasa tidak difahami, sukar mempercayai orang, atau terlalu risau dalam perhubungan, pemahaman tentang gaya attachment boleh menjadi kunci untuk membina hubungan yang lebih sihat.
Attachment Style ini ialah cara kita mula-mula bina hubungan rapat dengan manusia pertama yang kita kerap berjumpa sejak lahir, iaitu primary caregivers. Sama ada mak, ayah, atuk, nenek atau sesiapa saja yang besarkan kita sejak kecil dulu.
Pendek kata, macam mana mereka berhubungan dengan kita dari kecil, akan jadi satu blueprint kepada cara kita melihat dunia dan berhubungan dengan orang sekeliling waktu kita dewasa sekarang. Mengikut John Bowlby, ada empat jenis Attachment Style.
Mari kita fahami empat Attachment Style yang berbeza ini melalui kisah empat individu yang berbeza. Cerita ini mungkin membantu anda mengenali diri sendiri atau orang tersayang dalam salah satu watak ini, dalam bentuk yang lebih mudah difahami.
1. Secure Attachment – gaya yang paling sihat, stabil dan yang patut kita capai
Sara membesar dalam keluarga yang sentiasa ada untuknya, sama ada fizikal mahupun emosi. Mereka sangat menyokong, buat dia rasa selamat dan berani untuk bersuara tanpa disuruh “kau diam sebab masih budak“. Bila ada masalah, dia tahu boleh berbincang dengan ibu bapanya secara terbuka, walaupun ada kesalahan pada diri Sara dalam konflik yang dialami itu. Pendek kata, ibu bapa Sara memberi ruang selamat untuk dia membesar dan belajar daripada kesilapan.
Ibu ayah Sara tak sempurna, tetapi sentiasa cuba memahami dan memberi sokongan sepanjang perkembangan Sara mengenal dunia. Kini sebagai dewasa, Sara selesa dengan dirinya dan perhubungannya. Bila ada konflik dengan pasangannya, Adam, dia berani membincangkannya secara terbuka dan mencari jalan penyelesaian.
“Kita perlu bincang tentang ini.”
Kata Sara dengan tenang apabila ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Dia tidak takut untuk berkomunikasi (walaupun menyakitkan sebab berkaitan konflik), berkongsi perasaan atau meminta pertolongan bila perlu. Pada masa yang sama, Sara selesa memberi ruang kepada Adam untuk hobi dan masa bersendirian. Pendek kata, gaya Sara sangat stabil dalam berhubung dengan orang yang dia sayang, sebab begitulah blueprint yang dia bina daripada pengalaman bersama ibu bapanya sejak kecil dulu.
Individu dengan Secure Attachment ini membesar dalam persekitaran yang sihat dan menyokong. Mereka rasa selamat untuk berkongsi dan membuka vulnerability diri dengan orang dipercayai. Mereka mudah beri dan terima sokongan apabila perlu.
Kalau berhadapan konflik? Mereka boleh hadap dengan matang tanpa terlalu beremosi (merajuk tanpa sebab, cepat terasa, bergaduh berpanjangan dll.)
2. Anxious Attachment – kerap insecure, takut dan risau dengan hubungan sendiri
Aina sering merasa tidak tenteram dalam perhubungannya. Sewaktu kecil, ibunya kadang-kadang sangat penyayang, kadang-kadang terlalu sibuk untuk memberi perhatian. Ini menjadikan Aina sentiasa cuba membaca situasi, “Hari ini mama okay ke tidak?”
Kalau tak okay, “Ada aku buat salah apa-apa ke sampai ibu tak nak layan?”
Sebab dia keliru dengan perhubungan oleh ibu sendiri yang tak konsisten. Malah seringkali, keperluan emosinya diabaikan dan perasaan kerap tak diiktiraf. Ini membuatkan dia jadi terlebih sensitif dengan perubahan mood orang sekeliling, dan akan buat apa saja untuk pastikan orang itu selesa dengannya. Kerana dia takut diabaikan dan ditinggalkan, seperti mana dia rasa daripada ibu sendiri.
Pendek kata, kerap ikut kehendak orang lain dan mengorbankan rasa sendiri, atau menjadi “people-pleaser”.
Sekarang dah dewasa, apabila pasangannya lambat membalas WhatsApp, minda Aina mula membayangkan pelbagai senario negatif. “Dia mesti boring dengan aku,” atau “Mungkin dia jumpa orang lain?”
Aina sering berkorban masa dan tenaganya untuk memastikan perhubungannya tidak berakhir, walaupun ini membuatkan dia mengabaikan keperluan dirinya sendiri.
Individu dengan Anxious Attachment ini selalu rasa risau dengan hubungan sendiri (insecure). Mereka rasa takut ditinggalkan, rasa diri tak cukup baik dan selalu ikut kehendak orang sekeliling (people-pleasing). Hasilnya, mereka kerap ‘terkorban’.
Orang sebegini selalu dilihat sebagai clingy atau overly-attached, oleh orang lain yang tak faham teori ini. Dalam pemikiran mereka, selalu terfikir:
“Dia betul-betul sayang aku ke?”
“Kenapa lambat balas teks?”
“Ada benda tak kena ke?”
Cara berfikir sebegini biasanya terjadi sebab persekitaran waktu kecil dulu. Sama ada,
- Ibu bapa tak konsisten tunjuk kasih sayang
- Terlalu protective (helicopter-parenting) sampaikan anak-anak tak berdikari
- Selalu kritik dan bandingkan diri kita dengan anak/individu lain
3. Avoidant Attachment – apabila perlu menjadi matang sebelum waktunya
Sejak kecil, Haziq belajar untuk bergantung hanya pada diri sendiri. Ayahnya seorang yang tegas dan jarang menunjukkan emosi, manakala ibunya sering mengatakan “Lelaki kena kuat.” Tambahan pula, dia anak lelaki sulung dan perlu sentiasa mengalah dengan adik-adik.
Kadang-kala, yang memang jelas bukan salahnya, tetap akan disalahkan.
“Awak kan abang sulung, mengalah lah dengan adik-adik.”
Terlalu kerap dia mendengar hujah itu. Tambahan, waktu ibu bapanya sibuk bekerja, dia yang perlu banyak menjaga dan memastikan keperluan adik-adiknya cukup. Apabila ibu bapanya pulang lewat malam, mereka terlalu penat untuk berhubung dengan Haziq. Atau lebih teruk, apabila mereka akan menegur dan berkasih sayang dengan adik-adik kecil sahaja dah tak dihiraukan Haziq yang lebih remaja.
Kerap kali dia berasa terasing dan memendam apa yang dia rasa, sebab kalau luahkan, akan dilabel tak bersyukur, banyak menjawab dan perlu “kuat sebagai lelaki.”
Kini, walaupun Haziq mahukan perhubungan ketika dah dewasa, dia sukar untuk membuka hati dan perasaan. Dia tak biasa dengan konsep sebegitu, sebab bukan itu cara dia dibesarkan. Bila pasangannya mula menunjukkan tanda-tanda ingin lebih rapat, Haziq secara automatik mula menjauhkan diri, sebab konsep itu asing baginya, dan cuba mengelak daripada beri komitment.
“Saya perlukan space,” atau “Saya ada kerja,” ini antara menjadi alasannya.
Dia sebenarnya takut untuk terlalu bergantung pada orang lain, kerana baginya, kebebasan adalah paling penting. Dia lebih selesa bersendirian, berdikari dan susah nak berkongsi atau bina hubungan dengan orang lain, kerana begitulah cara dia dibesarkan.
Golongan sebegini terbentuk antaranya kerana:
Sejak kecil terpaksa berdikari awal daripada sepatutnya – Contohnya mak ayah terlalu sibuk sehingga anak sulung yang perlu ambil alih jaga adik-adik, sedangkan dia sendiri masih kecil. Konsep ini dipanggil “Parentification”.
Jadi bila mereka membesar kerap ‘menjadi parents’ dan “perlu ‘matang’ berbanding waktunya,
- Dah terbiasa pendam perasaan, “Aku tak boleh tunjuk sisi lemah aku.”
- Elakkan berhubungan rapat, “Aku ialah alpha, dan tak perlukan beta, charlie dll.”
- Lebih suka berdikari dan buat sendiri, susah untuk terima bantuan orang sekeliling.
Sebab memang itu cara dia membesar.
“People count on me, so I count on me.”
4. Disorganized Attachment – gabungan tak stabil antara anxious dan avoidant
Pengalaman masa kecil Nadia agak rumit. Ada masa-masa indah, tetapi juga ada kenangan yang sukar. Kadang-kadang rumahnya tenang, kadang-kadang penuh dengan konflik yang tidak dijangka. Suasana ibu ayah yang sering bergaduh dan rumah terasa tak aman, terancam dan menakutkan, juga kadang-kadang membuatkan dia banyak menyendiri daripada bersama mereka.
Ini menjadikan Nadia dewasa yang sukar meramal emosinya sendiri. Minggu ini dia mungkin sangat mesra dengan pasangannya, minggu depan tiba-tiba mahu bersendirian.
“Saya sendiri pun tak faham kenapa saya macam ni,” Nadia sering berkata pada dirinya.
Dalam perhubungan, dia sangat mahu rapat dengan seseorang, tetapi pada masa yang sama takut untuk terlalu dekat. Sebab dia tahu betapa sakitnya ditinggalkan (seperti mana mak ayah mengabaikan emosinya dulu), jadi dia kerap memilih untuk tinggalkan orang sekeliling dulu.
“Kalau aku tinggalkan mereka sebelum mereka tinggalkan aku, aku takkan rasa sakit emosi itu.”
Golongan dalam Disorganized Attachment ini ialah gabungan antara Anxious dan Avoidant (nombor 2 dan 3). Campur-campur antara kedua-dua itu, macam roller coaster emosi jadinya. Kebiasaannya, ada trauma teruk atau luka emosi yang dia alami bertahun-tahun sejak kecil. Mereka ini:
- Susah nak bina hubungan, tetapi nak sangat ada kawan rapat.
- Perubahan mendadak dari ‘terlalu rapat’ ke ‘macam tak kenal langsung’
- Susah nak kawal emosi bila berlaku konflik
- Selalu rasa insecure dengan diri dan hubungan.
Penat hidup begini. Akhirnya, kehidupan mula jadi tak stabil, kerana emosi dalam berhubungan itu sendiri susah nak stabil.
Berita baik! Gaya ini bukan muktamad dan kekal hingga mati.
Walaupun keempat-empat Attachment Style terbentuk daripada zaman kita dibesarkan, tak bermaksud ia satu benda mutlak dan tak boleh diubah.
Melalui kesedaran (tahu diri kita yang mana satu),
Terapi psikologi (oleh pihak bertauliah dan terlatih),
Usaha berterusan (reparenting, iaitu mendidik diri kita sendiri)
Proses menyembuhkan diri daripada luka emosi zaman silam ini perlukan masa dan susah nak buat, tetapi tak mustahil. Antara langkah pertama yang kita boleh buat?
Jadi sedar dulu dengan diri sendiri. Tanya diri soalan ini,
- Macam mana kita bertingkahlaku dengan pasangan/kawan?
- Keadaan emosi kita bila berlaku konflik?
- Cepat merajuk, bergaduh terlalu lama, atau matang nak berkomunikasi?
- Cara kita lihat diri, berdikari sepenuhnya atau terlalu bergantung orang lain?
Memahami gaya attachment kita adalah langkah pertama untuk:
- Dapat bina hubungan yang lebih sihat
- Pulihkan luka emosi yang kita alami sejak kecil
- Dapat jumpa ‘closure’ dan ‘move-on’ dari masa silam
Dengan tema “Sembuh Bersama”, Akademi Kesihatan Mental ialah projek terbaru kami untuk wujudkan komuniti yang alami luka emosi dan nak belajar sembuhkan diri daripada zaman silam mereka. Ini bukan untuk menggantikan rawatan profesional, tetapi pelengkap kepada perjalanan penyembuhan kita.
Belum dilancarkan lagi, baru buka waiting list saja. Klik sini untuk sertai.
3 mesej utama daripada keseluruhan artikel:
- “Attachment Style” kita terbentuk dari pengalaman awal kanak-kanak, tetapi ia bukan takdir yang tetap dan tak boleh diubah. Otak kita ada neuroplasticity, iaitu kemampuan rewiring dirinya.
- Memahami Attachment Style ini boleh membantu kita membuat perubahan positif dalam cara kita beremosi dan berhubungan, terutama dengan pasangan yang kita percaya.
- Dengan kesedaran dan usaha, kita boleh membina perhubungan yang lebih sihat, sama ada dengan diri sendiri atau dengan orang lain.